Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
( سورة البقرة , Al-Baqara, Chapter #2, Verse #22)
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
( سورة البقرة , Al-Baqara, Chapter #2, Verse #164)
dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
( سورة الأنعام , Al-Anaam, Chapter #6, Verse #6)
Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.
( سورة الأنعام , Al-Anaam, Chapter #6, Verse #99)
Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).
Dalam tahun 1580, Bernard Palissy adalah orang yang pertama menerangkan konsep kitaran air yang ada pada masa kini. Dia menjelaskan bagaimana air menyejat ke udara daripada lautan dan kemudiannya menyejuk membentuk awan. Awan ini bergerak ke daratan dan naik ke atas, meluwap dan kemudiannya jatuh sebagai hujan.
Air ini mengumpul menjadi tasik dan sungai, dan mengalir semula ke lautan dalam kitaran yang berterusan. Dalam Abad Ketujuh Sebelum Masehi , Thales of Miletus mempercayai bahawa renjisan air di permukaan lautan di bawa oleh angin ke daratan kemudian jatuh sebagai hujan.
Pada masa dahulu manusia juga tidak mengetahui sumber bagi air bawah tanah. Mereka menganggap air dari lautan diasak masuk ke pendalaman kesan dari angin yang bertiup kencang ke arah daratan. Mereka juga percaya air kembali ke daratan melalui laluan rahsia atau ‘ Jurang Besar’(Great Abyss). Laluan ini bersambung hingga ke lautan dan dipanggil sebagai ‘Tartarus’ sejak dari zaman Plato.
Sehinggakan Decartes, seorang pemikir termasyur pada Abad Kelapanbelas menerima pandangan ini. Sehingga ke Abad Kesembilanbelas, Teori Aristotle pula diketengahkan. Mengikut teori ini, air telah meluwap di dalam gua-gua di pergunungan yang sejuk dan kemudian membentuk tasik-tasik bawah tanah yang menjadi sumber air bagi mata air. Tetapi kini kita telah mengetahui bahawa air hujan yang meresap masuk ke dalam tanah melalui rekahan-rekahan tanah menjadi sumber mata air.