Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Siapa yang mempunyai emas perak, tetapi dia tidak membayar zakatnya, maka hari kiamat kelak dibuatkan untuknya seterika api yang dinyalakan dalam neraka jahanam, lalu diseterikakan ke perut dan punggungnya. Setiap seterika itu dingin, dipanaskan kembali lalu di seterikakan pula kepadanya.
Begitulah berulang-ulang setiap hari selama lima puluh tahun, sampai perkaranya diputuskan. Setelah itu barulah dia melihat jalannya keluar, adakalanya ke syurga dan adakalanya ke neraka." Lalu beliau ditanya orang, "Ya, Rasulullah! Unta bagaimana?" "Tidak ada kecualinya pemilik unta yang tidak membayar zakat untanya," jawab Rasulullah saw. "Termasuk juga di dalamnya kewajiban memerahnya ketika dia dibawa ke tempat minum.
Maka pada hari kiamat kelak, orang itu ditelentangkan di tempat yang rata supaya diinjak-injak oleh unta-unta yang paling besar dan gemuk-gemuk, sampai anak-anaknya yang paling kecil sekalipun. Semuanya menginjak-injak dengan kukunya serta menggigit dengan giginya yang tajam. Setiap yang pertama lalu, datang pula yang lain menginjak-injaknya. Demikianlah hal itu berlangsung setiap kali, sehingga perkaranya selesai diadili.
Satu hari di sana sama dengan lima puluh ribu tahun di dunia. Setelah itu barulah dia dapat melihat jalannya keluar, mungkin ke syurga dan mungkin pula ke neraka. Lalu beliau ditanya orang pula, "Ya, Rasulullah! Kalau lembu dan kambing bagaimana?" Jawab beliau, "Ya, tidak ketinggalan pula pemilik lembu dan kambing yang tidak membayar zakatnya.
Nescaya pada hari kiamat kelak, dia akan ditelentangkan di suatu tempat yang rata, supaya diinjak-injak oleh sapi dan kambing itu dengan kukunya yang tajam dan ditanduk dengan tanduknya. Ternak itu semuanya tidak ada yang bertanduk rebah ke belakang atau patah, bahkan tidak ada yang tidak bertanduk. Bila yang pertama telah lewat, lalu diikuti pula oleh yang kedua dan seterusnya, sehingga perkaranya selesai diputuskan.
Satu hari di sana sama dengan lima puluh ribu tahun di dunia. Setelah itu barulah dia dapat melihat jalannya keluar, apakah dia ke syurga ataukah ke neraka. Maka ditanyakan orang pula kepada beliau, "Kalau kuda bagaimana, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw., "Kuda itu ada tiga macam :
(1) Kuda sebagai barang mewah, atau yang mendatangkan dosa. Iaitu apabila orang memeliharanya kerana riak, untuk kemegahan dan kebanggaan serta untuk memusuhi umat Islam. Maka kuda bagi orang itu menjadi sumber dosa.
(2) Kudasebagai keperluan. Iaitu kuda yang dipelihara untuk agama Allah. Kemudian pemiliknya tidak lupa akan hak Allah dalam mempergunakannya sebagai angkutan dan kenderaan. Maka kuda bagi orang itu adalah pakaian atau keperluan.
(3) Kuda sebagai sumber pahala. Yaitu kuda yang dipelihara untuk membela agama Allah, dan untuk membela kepentingan umat Islam di kebun-kebun atau di ladang-ladang mereka.
Maka apa-apa yang dimakan kuda itu di dalam kebun tersebut, dituliskan bagi pemilik kebun, kebajikan sebanyak apa yang dimakan kuda itu, dan bagi pemilik kuda dituliskan pula kebajikan sebanyak tahi dan kencing kuda itu. Bila tali kuda putus (lepas), kemudian kuda itu lari jauh, maka dituliskan untuk pemiliknya kebajikan sebanyak jejak dan tahi kuda itu.
Setiap kuda itu melalui sebuah sungai, lalu dia minum tanpa sengaja atau diberi minum oleh pemiliknya, maka Allah menuliskan kebajikan bagi pemiliknya sebanyak air yang diminum kudanya itu. Lalu ditanyakan orang pula, "Bagaimana kalau himar (keldai), ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saW., "Allah tiada menurunkan wahyu apa-apa kepada ku mengenai himar, selain ayat yang pendek tetapi mencakup, iaitu:
"Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (pahala)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya pula:" (Zalzalah 7 - 8).
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang lagi bertanda terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
( سورة آل عمران , Aal-e-Imran, Chapter #3, Verse #14)
Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan dan Dia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
( سورة النحل , An-Nahl, Chapter #16, Verse #8)
(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.
( سورة ص , Sad, Chapter #38, Verse #31)
(Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan lebih daripada mengingati (ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam.
( سورة ص , Sad, Chapter #38, Verse #32)
(Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): Bawa balik kuda itu kepadaku; maka dia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).
( سورة ص , Sad, Chapter #38, Verse #33)
Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
( سورة الإسراء , Al-Isra, Chapter #17, Verse #64)
Demi kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,
( سورة العاديات , Al-Adiyat, Chapter #100, Verse #1)